KUALA LUMPUR: Tujuh lagi kakitangan imigresen ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk dua pegawainya ketika melakukan transaksi wang tunai sebanyak RM26,000 dengan sindiket membawa keluar masuk pendatang asing tanpa izin, di Jeti Port Dickson.
Dengan penahanan terbaru itu, jumlah keseluruhan kakitangan imigresen yang ditahan setakat ini ialah lapan orang, termasuk enam di Jeti Penumpang Pulau Ketam, Pelabuhan Klang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah membabitkan sindiket berkenaan. Daripada jumlah itu, lima anggota jabatan berkenaan yang bertugas di Jeti Penumpang Pulau Ketam, ditahan semalam, manakala seorang ditahan Jumaat lalu kerana disyaki menerima rasuah dan bersubahat dengan sindiket yang menjalankan kegiatan sama.
Selain itu, dua lagi berusia dalam lingkungan 40 dan 50-an yang ditahan SPRM dengan wang transaksi itu adalah mereka yang bertanggungjawab menyelia operasi di Jeti Port Dickson, Negeri Sembilan.
Kedua-duanya ditahan di sekitar Seremban antara jam 6 petang hingga 9 malam, Rabu lalu bersama seorang individu lain yang bertindak sebagai ‘runner’ untuk transaksi membabitkan sindiket menggunakan jeti yang mengendalikan perjalanan feri ke Dumai tiga kali seminggu.
Sumber itu berkata, pegawai terbabit disyaki mengenakan bayaran RM80 bagi setiap pendatang asing tanpa izin yang keluar masuk dan dipercayai mendapat bayaran mencecah RM20,000 seminggu.
“Siasatan mendapati suspek menugaskan anggota menaiki feri dan melepaskan pendatang yang tidak mempunyai dokumen lengkap turun sedangkan mengikut prosedur, mereka tidak boleh memberi kebenaran mendarat kepada pendatang terbabit.
“SPRM akan membongkar kegiatan rasuah di jeti berkenaan termasuk menyiasat semua anggota. Setakat ini kita sudah merekodkan kenyataan beberapa orang yang mengaku menerima bayaran untuk ‘menutup mulut’,” katanya.
Sumber itu berkata, tempoh reman ketiga-tiga suspek yang tamat hari ini akan disambung bagi melengkapkan siasatan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Hishamuddin Hashim, yang mengesahkan perkara itu ketika dihubungi berkata, beliau akan bertemu Ketua Pengarah Imigresen untuk berbincang mengenai tindakan selanjutnya.
Difahamkan, SPRM akan mencadangkan anggota yang terbabit dalam kegiatan itu dikenakan tindakan tatatertib dan seluruh pasukan imigresen di Jeti Port Dickson dirombak.
Jumaat lalu, SPRM menahan seorang anggota imigresen dan tujuh individu lain bersama wang tunai RM100,000 disyaki rasuah yang diterima daripada pendatang asing di Jeti Penumpang Pulau Ketam, dan beberapa lokasi lain di sekitar Klang.
**Dah lama di intip baru boleh bongkar, dasyat betul. Dah kenyang namun masih tak puas, sesuatu yang luar biasa di lakukan. Akhirnya SPRM bertindak,berapa ramai PATI yang keluar masuk dengan selamat.
Yang menjadi tanda tanya kenapa SPRM yang dulu tau tentang perkara ini. bukankan di lautan, banyak rondaan di lakukan. Macam-macam Jabatan pun di lautan SPRM juga yang berjaya menahan mereka ini.
Pelik dan hairan yang di darat juga yang hebat. Ke mana pergi pengawal sempadan yang lain.
Mujurlah mereka datang nak cari kerja kalau datang nak merompak bawa senjata pun lepas juga tak tahulah nasib negara kita, belum lagi yang lolos di negeri-negeri yang lain yang kita tak tahu, yang pasti PATI tetap ada yang senang lolos melalui jalan tikus.