KUALA LUMPUR 5 Okt. - Pelbagai pihak hari ini mendesak calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali supaya memohon maaf secara terbuka terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Tegas mereka, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak bukan setakat perlu membuat permohonan maaf secara terbuka tetapi turut wajib bersemuka dengan negarawan itu bagi memohon keampunan.
Selain itu, orang kepercayaan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga perlu meminta maaf kepada seluruh rakyat negara ini yang amat menyayangi dan menyanjungi Dr. Mahathir tetapi tersinggung akibat dihina oleh Azmin.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gombak, Megat Zulkarnain Omardin ternyata amat kecewa, sedih dan tersinggung dengan kenyataan Azmin yang menggunakan istilah 'tersungkur' ketika merujuk kepada Dr. Mahathir yang dirawat di Australia.
Beliau menyelar Azmin itu yang disifatkan sebagai lebih hina dan teruk daripada binatang kerana tidak tahu bersyukur dan berterima kasih terhadap sumbangan Dr. Mahathir.
"Binatang pun tahu berterima kasih apabila kita berbuat baik terhadapnya, contohnya anjing apabila kita memberinya tulang, binatang ini akan mengerak-gerakkan ekornya sebagai tanda terima kasih.
"Segala kekayaan dan kesenangan yang diperoleh Azmin kini semuanya dikaut semasa era Dr. Mahathir iaitu semasa bekerja dengan Anwar yang pada ketika itu menjadi anggota kerajaan, jadi kenalah bersyukur dan berterima kasih," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengulas kenyataan Azmin kelmarin yang mengakui individu yang dimaksudkan sebagai sedang 'tersungkur' dalam ucapannya pada Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Gombak ialah Dr. Mahathir.
Malah, Azmin dengan angkuhnya berkata, perkataan 'tersungkur' itu langsung tidak kasar, sebaliknya amat lunak dirujuk kepada Dr. Mahathir berikutan kedegilan beliau bersekongkol dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).
Sementara itu, bekas rakan karib Anwar, Datuk S. Nallakarupan berkata, walaupun berlainan pendirian politik tetapi Azmin masih perlu menghormati Dr. Mahathir yang banyak berjasa kepada negara.
Beliau menarik perhatian bahawa agama Islam sendiri mengajar penganutnya supaya menghormati orang lain yang lebih berusia sama ada beragama Islam atau sebaliknya.
"Azmin kena ingat dulu dia langsung tiada apa-apa, Dr. Mahathirlah yang mencadang namanya supaya diambil oleh Anwar untuk bekerja dan membantunya.
"Malah saya semasa ditahan oleh kerajaan (Dr. Mahathir) bersama dengan Anwar pada 1998, tidak pernah berdendam atau memaki-hamun Dr. Mahathir kerana saya tahu jasanya terlalu besar kepada negara," katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Datuk Mohd. Ali Baharom menyifatkan Azmin sebagai pemimpin 'tidak sedar diri' yang langsung tidak layak menghina atau mengkritik Dr. Mahathir jika dibandingkan dengan jasa dan sumbangan calon Timbalan Presiden PKR itu.
"Azmin terlalu kerdil. Orang muda 'tidak sedar diri' ini perlu memohon maaf secara terbuka kepada Dr. Mahathir dan seluruh rakyat negara ini. PVTM tidak boleh sampai bila-bila menerima penghinaan ini," katanya.
**Ucak berpendapat dalam politik semuanya di halalkan selagi tak mendatangkan kecederaan kepada sesiapa, apabila kita selalu sahaja melihat atau mendengar orang-orang politik termasuk penyokong fanatik parti masing-masing bertikam lidah samada di blog-blog mahu pun masa pilihan raya.
Tujuan Ucak menulis ini bukanlah menyokong kenyataan Azmin terhadap Dr.Mahathir, tapi menyatakan itulah sebenarnya dunia politik, cakap apa sahaja nak cakap kalau tak rakyat takkan kenal, apabila seorang pemimpin kurang bersuara samada secara elok atau sebaliknya.
Apakah yang di maksudkan?, Azmin mendapat kekayaan dan kesenangan sekarang, hasil dikaut masa era Dr. Mahathir, sebab Dr. Mahathir lah yang memperkenalkan beliau kepada Anwar, ketika Anwar masih bersama kerajaan BN.
Apakah sesiapa sahaja dalam BN boleh mengaut keuntungan dan kekayaan kah?. semacam sahaja apa yang di perkatakan mereka yang terlalu taksub dengan Dr. Mahathir ini.
*Apa-apa pun Dr. Mahathir kena berehat banyak-banyak, kalau boleh terus berhentilah bersuara atau bersara terus dari dunia politik, lebihkan lah masa dengan anak cucu, bagi orang lain pulak meneruskan perjuangan UMNO atau BN.