http://ulikehits.co.uk/ref-1031.html

Ex4Me

Livestreaming

Ahad, 10 Oktober 2010

Asbestos: Debu pembunuh senyap



Bahan serat yang berlaku secara semula jadi ini dengan ketahanan terhadap haba panas dan api telah dikenal pasti sebagai ancaman serius kepada nyawa manusia di Negara Barat dan seberapa boleh yang mungkin hendaklah dielakkan sama sekali.

Mereka yang bekerja dengan asbestos berisiko mengalami kanser paru-paru, asbestosis, mesothelioma dan kematian akibat penyakit pernafasan. Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menganggarkan bahawa 100,000 pekerja mati setiap tahun akibat penyakit berkaitan asbestos. Manakala beribu lagi terkorban daripada pendedahan dalam alam sekitar.

Serat asbestos kuat dan biasanya ditemui dalam siling, jubin lantai, paip air dan brek kenderaan. Asbestos satu ketika dulu dianggap sebagai bahan bangunan yang utama tetapi kini dikenali sebagai salah satu pembunuh di tempat kerja yang terbesar.

Asbestos juga termasuklah chrysotile, amosite, crocidolite, asbestos tremolite, asbestos anthophyllite, asbestos actinolite, dan sebarang daripada bahan ini yang telah dirawat dan atau diubah suai secara kimia.

Asbestos menjadi bahan berbahaya apabila ia diganggu, menyebabkan seratnya berterbangan di udara. Ini biasanya dirujuk sebagai asbestos repui, manakala asbestos yang masih dalam keadaan baik dirujuk sebagai asbestos tidak repui.

Asbestos repui bawaan udara disedut ke dalam paru-paru mereka yang terdedah kepadanya. Sehingga hari ini, penyelidik masih belum menetapkan paras selamat pendedahan kepada asbestos tetapi satu perkara yang pasti lebih lama terdedah kepadanya, lebih besar risiko mendapat penyakit berkaitan asbestos.

Sebab itulah keracunan asbestos sering dipanggil penyakit bahaya pekerjaan, kerana mereka yang biasanya bekerja dengan bahan ini kebanyakannya berisiko mendapat penyakit berkaitan asbestos.

Pegawai kesihatan telah memberi amaran bahawa pendedahan kepada asbestos secara meluas akan mengakibatkan wabak mesathelioma, kanser paru-paru dan asbestosis.
Di samping penyakit yang membunuh ini, panel 27 pakar yang bersidang bersama Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bukti baru bahawa asbestos menyebabkan kanser larinks dan ovari.

Lebih membimbangkan ialah ramalan oleh Dr James Leigh, Pengarah Pusat Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar, Sekolah Kesihatan Awam Sydney, Australia yang telah bersara, bahawa akan terdapat 5 hingga 10 juta kematian akibat kanser berkaitan asbestos menjelang 2030.

Ia juga membimbangkan bahawa agensi kesihatan antarabangsa seperti WHO, ILO dan IARC bersetuju bahawa tidak terdapat paras selamat terhadap pendedahan kepada asbestos. Walaupun begitu, bumbung bahan asbestos, paip simen asbestos dan produk mengandungi asbestos lain masih digunakan dengan meluas di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Apa yang membimbangkan kepada pengguna ialah tidak terdapat sebarang keprihatinan terhadap kesihatan mereka kerana dibekalkan dengan air melalui paip simen asbestos.
Memandangkan kepentingan untuk memelihara keselamatan awam dan pekerja yang mengendalikan asbebstos, CAP menggesa supaya diharamkan sepenuhnya bahan ini. Kami memahami bahawa kerajaan Malaysia sedang mengkaji untuk melaksanakan pengharaman tetapi apa yang membimbangkan kami ialah proses ini akan mengambil masa yang panjang.

Di samping mengenakan pengharaman ke atas asbestos, kerajaan Malaysia mestilah mewujudkan pendaftaran kebangsaan untuk asbestosis dan mesothelioma, diagnosis awal terhadap penyakit berkaitan asbestos dan melaksanakan skim pampasan pekerja.

Kerajaan juga mestilah mengadakan program pendidikan dan kesedaran asbestos untuk menyampaikan mesej kepada orang ramai, kontraktor, mekanik, pemasang paip dan pekerja umum mengenai bahaya asbestos dan untuk menggalakkan pematuhan terhadap peraturan dan amalan pengurusan asbestos yang selamat.

Kita juga memerlukan buruh mahir dan berpengetahuan untuk menghapuskan dan memindahkan produk yang mengandungi asbestos dengan selamat.

CAP sekali lagi menggesa kerajaan supaya mempercepatkan pengharaman asbestos dan memastikan langkah yang sewajarnya diambil untuk melindungi kesihatan seluruh rakyat Malaysia.

Dari dulu perkara ini dah timbul namun tindakkan amat lama untuk di ambil,dan mungkin ramai juga rakyat kita yang tak tahu dan mungkin  juga tahu tidak mengambil langkah segera agar tidak menggunakan produk ini,bagi mereka yang memang telah membuat rumah dengan syiling dan atap asbestos pun mungkin fikir dua tiga kali, dan beranggapan ajal maut di tangan tuhan.Apa pun tanggapan umum yang jelas syiling dan atap rumah yang telah lama dan juga mungkin baru boleh di tukar ganti andai berkemampuan tapi paip yang menggunakan bahan itu dah tentu mengambil masa yang lama untuk di tukar dan memerlukan kos yang tinggi.
Sedangkan masih ada banyak lagi kawasan yang belum mendapat kemudahan bekalan air bersih(paip).
Apa sekali pun alasan kerajaan patut segera melaksanakan pengharaman bahan-bahan yang di perbuat dari Asbestos.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan